MamiDediPreneur
April 25, 2018

Itenari Travel & Jalan Cari Makan 3 Hari 2 Malam ke Balok, Cherating dan Kemaman Berbaloi.

Mesra baby, mesra kanak kanak dan memuaskan hati kami pasangan suami isteri yang hantu jalan jalan cari makan.

Wah. Bunyinya tiga hari dua malam untuk tiga tempat ini, sempat ke?

Perjalanan kami melalui LPT dari Kajang-Balok-Cherating-Chukai

Jawapan saya, ya sangat berbaloi.

Alhamdulillah, saya bersyukur sangat atas pencarian survey saya selama seminggu untuk buat itineri sendiri yang mesra keluarga, yang mengutamakan baby dan kanak kanak kecil serta melayan perut kami suami isteri sangat sangat berhasil.

Walaupun ada kekangan masa waktu bertolak dan plan agak lari untuk hari yang pertama, namun keseluruhannya travel percutian kami anak beranak cum outstation team bisnes mamidedipreneur sebenarnya.

Ya, tujuan utama kami ke Balok adalah kerana urusan bisnes.

Syukurlah, impian saya berbisnes berorientasikan bisnes keluarga seperti yang diidamkan dulu dapat saya nikmati sekarang ini.

Kalau dulu-dulu zaman saya kecil kecil, ayah saya Pegawai Kerajaan, selalu bawa saya dan emak keluar outstation dan meeting mengikut rombongan kerja. Ke Penang lah, ke Langkawi lah. Untunglah ibu saya seorang surirumah.

Tapi, bila saya dan suami berkerjaya, nak aturkan percutian, perlu pula minta cuti dari majikan tercinta. Dan orang pesan, nak mudah bawa keluarga berjalan, lebih senang waktu anak belum masuk darjah satu, tak perlu tunggu cuti sekolah, nanti semua pusat percutian dipenuhi orang.

Oh, senang ke bawa anak kecil berjalan? Insyaallah mudah sangat. Setakat ini, saya dah merasa pengalaman bawa anak kecil keluar negara seperti berkereta ke Singapura, mengerjakan umrah dan ziarah, berkereta ke Thailand dan lain-lain pengalaman adalah cuti cuti Malaysia.

Akhirnya, syukur kali ini dapat saya bawa keluarga bercuti tanpa perlu bersesak dengan orang ramai dan yang sangat penting tanpa perlu mohon cuti dari Boss masing masing.

Dan tak perlu juga kami terikat dengan aturan perjalanan yang ditetapkan mengikut rombongan pejabat untuk anak anak. Kami yang tetapkan sendiri mengikut citarasa dan kesesuaian kami beranak kecil. Aktiviti bebas yang terancang, gitu.

Eh panjang pula intronya. Jom saya share perjalanan, aktiviti dan tempat makan sedap Balok dan Cherating serta Kemaman.

Hari Pertama : Perjalanan Pergi Kajang-Balok

Bermula dari Isnin, 11 September, kami memulakan perjalanan jam 1 petang. Hah, dah namanya beranak kecil kan, beginilah. Yang merasai keadaan semasa begini, faham fahamlah kan.

Sebetulnya, hari Ahad sebelumnya saya seharian berseminar sehingga ke malam, jadinya perlu ambil masa untuk berkemas kemas beg dan rumah sebelum bertolak.

Perjalanan kami mengambil masa 6 jam campur berhenti makan tengahari di R&R Genting Sempah, solat dan beberapa perhentian lain di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur tersebut. Mak ai, masa perjalanan dah hampir jadi ganda dua masa sebenar. Beginilah realitinya, ya 🙂

Jika dirujuk Google Maps, sebenarnya perjalanan hanya mengambil masa tiga jam setengah je tau. Jangan risau bagi anda yang nak atur iteneri sendiri, boleh memandu terus tanpa henti mengikut masa yang dijadualkan.

Dari Kajang, ke Balok, Kuantan perjalanan kami sangat lancar tanpa trafik jam. Cuaca sedikit hujan bermula jam 3 petang, tapi taklah lebat sangat. Jadi kami bergerak dengan kelajuan sederhana dan bersantai santai tanpa mengejar masa.

Kami keluar dari Lebihraya Pantai Timur di persimpangan Jabor jam 6.15 petang dan terus set waze ke De Rhu Beach Resort, Kuantan jam 6.50 petang.

Malamnya, kami makan malam di Sara Thai Kitchen di Pantai Balok. Kedai ini memang telah dicadangkan oleh kawan saya yang tinggal di Balok, CikSu. Jadi, memang kami berpuas hati atas tiga sebab, 1) makanannya sedap 2) servisnya cepat 3) tempatnya selesa.

Menu kami malam itu, ikan siakap bakar petai, udang celup tepung, sotong celup tepung, tomyam campur dan kailan ikan masin. Makanan sampai dulu dari air okeh!

Satu perkara yang saya sangat suka dengan Pantai Balok adalah, sepanjang jalan di sini terlalu banyak kedai kedai makanan yang ada, tinggal nak rasa je sedap ke tidak.

Pantainya juga sangat dekat dengan Bandar Balok, jadi apa-apa yang tak cukup boleh beli saja di kedai/Pasaraya yang ada.

Hari Kedua : Balok-Cherating.

Kami memulakan hari kami dengan keluar sarapan pagi di luar.

Syukurlah kami berjumpa dengan sebuah warung makan di tepi jalan berhadapan dua pasaraya Cina di sebelah kiri dari arah De Rhu (Maaf terlupa nama). Kedai makan ini di seberang kanan.

Roti canai kakak Aisyah ini memang sedap. Sampaikan kami tapau pula roti bom buat bekalan anak anak selepas mandi kolam nanti. Saya pula memilih makan nasi lemak dan suami pula makan nasik berlauk. Semuanya sedap. Recommended sangatlah.

Seterusnya, kami singgah sebentar di Pantai Balok bermain pasir dan ambil angin pagi sebelum saya terus memulakan meeting bisnes saya bersama CikSu di kediamannya.

 

Puas hati tau buat bisnes di rumah CikSu ni, sebab sudah tentu masing masing selesa. Anak anak selesa bermain di rumah dan CikSu dah sediakan menu istimewa untuk kami, masyaallah. Terima kasih CikSu masakkan makaroni sedap dan nasi ayam lazat.

Anak anak saya kembali ke hotel mandi kolam. Haish, inilah peluang mereka, kan. Jadi, Encik CEO lah yang melayani karenah anak anak kami. Saya hanya bawa si kecil saja bersama saya. Masih belum boleh bercerai lagi si kecik tu katanya!

Habis je meeting kami petang tu, kami terus ke Cherating. Perjalanan cuma 20 minit saja lebih kurang dan tibalah kami untuk check in di Holiday Villa Cherating. Bilik kami betul betul mengadap kolam renang, masyaallah sukanya anak anak.

Terus terjun kolam lah apa lagi.

Encik CEO dah tetapkan masa mandi 15-20 minit saja, tapi tu pun dah cukup buat mereka bahagia. Sebab apa mandi kolam sekejap?

Sebab kami nak ke Kemaman!

Oh, tak jauh sebenarnya. Target kami ke Warung Aziz Satar. Enjoy sangat perjalanan sepanjang jalan ke Kemaman. Di pertengahan jalan, saja saja turun singgah membeli keropok lekor goreng melapik perut sementara sampai ke Kemaman.

 

Wah, dekat juga sebenarnya. Sesampainya di Warung Aziz Satar, sempatlah kami memesan satar, otak otak ikan, otak otak udang dan sotong, keropok lekor dan coconut shake.

Tak lama selepas itu, azan maghrib berkumandang.

Kami bersegera ke Masjid Geliga berdekatan.

Selesai berjemaah Maghrib bersambung dengan jamak qasar Isyak, kami pulang ke Cherating.

Pertengahan jalan, kami berhenti makan malam di Warung Aziz Ikan Bakar. Inilah menunya :

Jangan takut tengok ikan ni putih je, sebab kami yang pesan pada makcik tu, jangan bakar dengan sosnya, sos asing sebab anak kecik nak makan. Sedap tau. Ikan sebelah

Yang pastinya servisnya sabar menanti, ya, tapi masakannya sedap. Saya suka sotong goreng tepung di sana.

Perjalanan kami malaj itu diakhiri dengan menikmati suasana malam di sepanjang perjalanan pulang ke hotel.

Hari Ketiga : Cherating-Kemaman-Kajang

Paginya, kami menikmati suasana Pantai Cherating di Holiday Villa. Breakfast di hotel. Sambung mandi kolam.

Tapi ada sedikit kemalangan kecil yang berlaku. Anak sulung digigit tebuan. Nasiblah memang kami nak check out selepas itu. Kemas kemas barang, terus waze klinik berhampiran. Ada klinik desa, tapi nampaknya seperti tutup tapi kami pun dah terlajak teruskan perjalanan ke klinik swasta di Kemaman.

Ikuti kisahnya di sini.

Syukur, tak ada apa apa yang membahayakan. Kami terus solat jamak di Masjid Geliga semalam dan makan tengahari di Warung Ani.

Ikut waze, pencarian kami terhenti di tengah jalan.

Hah, sudah.

Rupanya kedainya di sebelah kiri di tepi sungai Kemaman. Petunjuknya, di sebelah kanan jalan besar ada surau hijau.

Kami sampai pun dah agak lewat, kebanyakan lauk dah habis. Mujurlah ikan bakar masih ada, boleh cicah dengan budu. Ada lagi ayam goreng dan tak dinafikan, masakan di kedai ini memang sedap. Sebab tu ramai yang mencadangkan makan tengahari di sini melalui carian Google.

Selepas makan, kami menikmati perjalanan pulang Kemaman patah balik Cherating santai santai. Tapi ada satu kedai misteri yang dari semalam suami saya perhatikan sentiasa penuh tanpa henti ada je kereta masuk parking di hadapan kedainya. ya, dari semalam. Mungkin kedai ini sangat popular bagi penduduk tempatan.

Kami hanya bungkus makanan mengikut apa yang dibeli oleh orang ramai. Dan, cubaan kami sangat berhasil sebab rupa-rupanya kedai itu ada makanan popular yang sedap iaitu popia satar. Kalau ada penduduk tempatan yang membaca entry ini sila komen, ya!

Kami terus ke Pusat Penyu Cherating.

Rupanya jika kami boleh stay sehingga lewat petang, acara melepaskan anak anak penyu akan dilakukan jam 6.30 petang. Oh, melepaslah sebab kami nak pulang hari ini juga.

Kami menikmati sebentar pantai belakang ClubMed, cantik, airnya biru.

Seterusnya ke Pantai awam Cherating dan rupanya sepanjang jalan dalam di situ banyak rupanya kedai kedai makan di sepanjang jalan. Feel ikut jalan dalam ni (tepi pantai) barulah ada feel seperti tempat tempat Pantai Langkawi, Lumut dan sebagainya.

Sebelum pulang, kami singgah di gerai Master Cendol yang menawarkan berbagai menu cendol. Keistimewaan kedai ini adalah servisnya yang boleh tambah PERCUMA sampai kenyang.

Saya order cendol pulut mangga, manakala suami cendol kelapa laut.

Kemudian, kami teruskan perjalanan pulang.

Singgah solat Maghrib di R&R Temerloh, kami makan malam berlaukkan masak lemak ikan patin. Sedap masakannya. Saya singgah di kedai yang jual lauk ikan patin yang arahnya paling dekat dekat dari surau.

Jika diikutkan hati nak bermalam semalam lagi di bandar Kuantan.

Memandangkan Jumaat, anak sekolah, biarlah kami beri anak anak berehat sepanjang Khamis supaya mereka recharge dan bersemangat ke sekolah tanpa kepenatan balik bercuti cuti Malaysia.

Alhamdulillah, kami sangat berpuas hati dengan aturan program percutian kami walaupun saya belum dapat memenuhi senarai jalan jalan cari makan bandar Kuantan dan tanjung Lumpur, biarlah kami simpan dengan cermat dulu supaya kami boleh ulang pergi ke sana untuk merasa pengalaman di bandar pula.

Satu yang di luar jangkaan saya dan suami, kami ingatkan Pantai Balok ni kurang tarikannya. Maaf ye CikSu, ampun. Sebab jika di Google, memang kurang maklumat mengenai Balok. Rupanya Pantai Balok meriah dengan barisan kedai makan yang banyak pilihannya. Boleh rambang mata, tau. Nak dapatkan hasil laut pun ada. Cuma tak boleh banding dengan Kemaman kut sebab saya tak tengok tempat jualan hasil laut Kemaman lagi. Air di Pantai Balok nampak lebih tenang dari Pantai Cherating, namun saya pun tak pastilah kut ada masa atau musim yang mempengaruhi.

Yang pasti, Balok best dengan makanan, deretan kedai dan keadaan di sana nampak lebih hidup, Cherating sebab ada lebih banyak tarikan dan ada servis servis kemudahan air dah disediakan di sana secara komersil. Cherating sebab semuanya jauh-jauh, itu je bezanya antara kedua tempat ini.

Awalnya saya dan suami ragu ragu untuk pergi ke Kemaman, bunyinya seperti jauh, tapi memang tak rugilah mencuba. Kemaman memang best, rugi pergi Cherating tanpa jejak ke jirannya, Terengganu.

Kesimpulannya, best best best. (Anak dah besar, kita bawa tengok kunang kunang pula, ya! Amboi ada hati repeat datang banyak kali tu!)

Ainul Malik

0163353567

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *